Rapat Umum Sokongan Palestin: KYM Kecam Kekejaman Israel Di Gaza
Oleh Hassan Abdul Motalip

BUKIT SEBUKOR, 16 Jan: Bahagian Hal Ehwal Pelajar Kolej Yayasan Melaka (KYM) telah mengadakan rapat umum secara aman hari ini sebagai tanda sokongan dan bantahan terhadap keganasan yang dilakukan rejim zionis Israel di Gaza, Palestin.


Foto Sumbangan : En.Wuu

Rapat umum tersebut berlangsung di ruang legar bangunan pentadbiran KYM dimulakan dengan perarakan membawa sepanduk dan kain rentang mengandungi kata-kata bantahan serta laungan Allahuakbar! Hidup Palsetin! mengecam kekejaman tentera Israel.

Kekejaman tentera Israel ke atas Gaza sejak 27 Disember menjangkau hari ke-21 hari ini telah mengorbankan nyawa lebih seribu orang melibatkan orang awam dan kanak-kanak masih belum menunjukkan sebarang tanda akan ditamatkan.

Laporan media setiap hari jelas menunjukkan ratusan penduduk yang mendukung anak menyelamatkan diri ketika jet-jet pejuang tentera Israel dan kereta kebal melakukan bedilan dan menggugurkan bom.

Bedilan-bedilan meriam bukan sahaja mengenai bangunan awam malahan pusat bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), hospital, apartmen dan pejabat media mengakibatkan kematian dan kecederaan.

Rektor KYM, Datuk Prof. Dr. Ramlah Adam dalam ucapannya berkata, serangan Israel ke atas Palestin adalah kekejaman yang amat dahsyat dalam kurun ke-21 ini sekaligus meranapkan sifat-sifat kemanusiaan.

“Kita telah mencapai hidup yang bertamadun tetapi masih ada manusia yang meneruskan penjajahan di muka bumi Allah ini sehingga meranapkan sama sekali nilai ketamadunan ini,” katanya di hadapan lebih 2,000 warga KYM terdiri daripada kakitangan pentadbiran, pensyarah dan pelajar.

Menurutnya, setiap individu perlu mendokong tanggungjawab tinggi untuk memastikan tidak ada lagi penindasan berlaku dengan membina kekayaan fizikal dan mental supaya tidak dipandang rendah oleh negara maju.

“Teruskan perjuangan untuk menyokong perjuangan rakyat Palestin menerusi sokongan moral untuk menunjukkan penentangan terhadap kekejaman ini,” katanya.

Beliau turut menyeru supaya semua pihak terus memboikot produk keluaran Amerika Syarikat untuk menunjukkan penentangan keras Malaysia kepada kekejaman di bumi palestin tersebut.


Foto Sumbangan : En.Wuu