|
“Happy Family”-Bukti Belia Prihatin
Oleh : Suhaiza Sumadi
Pensyarah Sekolah Teknologi Media Dan Seni

Bangunan yang lebih bersih dan ceria hasil kerjasama para pelajar Perhubungan Awam.
Bandar Melaka- Sikap prihatin terhadap golongan yang kurang bernasib baik telah mendorong para pelajar Perhubungan Awam semester lima, Sekolah Teknologi Media dan Seni, Kolej Yayasan Melaka menganjurkan
Program Amal yang berkonsepkan Happy Family.
Program berkenaan yang bertujuan untuk menzahirkan perasaan prihatin dan berkongsi kegembiraan telah di adakan di Pusat Jagaan Kasih Sayang Prasanna,Jalan Laksamana Cheng Ho.
Program yang sarat dengan mesej kasih sayang ini telah dirasmikan oleh Dekan Sekolah Teknologi Media dan Seni, Encik Mohammad Nawawi bin Saad.
Nawawi dalam ucapan perasmiannya menyatakan perasaan berbesar hati kepada penganjur program tersebut kerana telah berjaya mengajurkan program tersebut.
“Kegigihan dan keprihatinan para pelajar yang juga golongan belia menganjurkan program ini jelas dapat dilihat apabila mereka berusaha bersungguh-sungguh mencari penaja dan membuat kutipan amal untuk pusat ini. Mereka juga turut berusaha keras agar program yang dirancang dapat berjalan lancar.”
Puan Malingga A/P Govindasamy, Pengetua Pusat Jagaan Kasih Sayang Prasanna dalam ucapannya berkata, “Kami sangat gembira dan rasa sangat teruja di atas program yang julung-julung kali diadakan di pusat ini dan saya dapat melihat kegembiraan yang jelas terpancar di wajah setiap penghuni pusat ini”.
“Tidak lupa juga jutaan terima kasih kepada penganjur yang telah bergotong-royong membersihkan kawasan ini minggu lalu dan mengecat semula bangunan kami dengan cat baru yang tentunya lebih ceria”,ujarnya.
“
Kami berharap program sebegini akan dapat selalu diadakan di sini agar penghuni pusat ini rasa dihargai dan agar mereka tahu bahawa masyarakat di luar sana tanpa mengira bangsa dan agama sentiasa prihatin dan mengambil berat golongan yang memerlukan perhatian dan kurang bernasib baik”, katanya lagi.
Beliau turut menyatakan, pusat jagaan tersebut telah ditubuhkan bertujuan untuk memberi bantuan kepada golongan yang memerlukan agar mereka dapat meneruskan kehidupan dengan lebih teratur dan tidak rasa terpinggir.
Pusat tersebut yang dihuni oleh 45 orang penghuni yang terdiri daripada golongan warga emas, golongan yang kurang upaya dan juga anak-anak yatim telah ditubuhkan selama lebih kurang 10 tahun.
Pusat Jagaan Kasih Sayang Prasanna telah menjana sumber kewangannya melalui kutipan-kutipan derma yang dijalankan dan juga mendapat keperluan asas hasil keprihatinan orang ramai yang tidak pernah jemu menghulurkan bantuan.
Antara aktiviti menarik yang telah diadakan semasa program berjalan adalah majlis ramah mesra bersama penghuni pusat jagaan dan juga majlis penyampaian hadiah dan sumbangan kepada setiap penghuni pusat tersebut dan makan tengahari telah ditaja oleh Encik Manivanan dan Puan Mariam.

Ucapan wakil pelajar Perhububngan Awam.

Perasmian program.

Penyerahan canderahati kepada anak yatim di pusat tersebut.

Sedang enak menjamu kek.

Sebahagian daripada penghuni PusatJagaan Prasanna.
|
|