|
PAMERAN DIPLOMA XIV
Oleh Hassan Abdul Motalip
Pensyarah Sekolah Teknologi Media Dan Seni

Sekolah Teknologi Media Dan Seni Kolej Yayasan Melaka akan mengadakan Diploma Show 2009 bagi pelajar-pelajar semester akhir kursus Diploma Teknologi Animasi (DTA) dan Diploma Teknologi Media (DTM) bermula dari 6 Julai hingga 12 Julai depan.
Penilaian dan pameran hasil kerja pelajar akan berlangsung selama empat hari bermula dari 6 hingga 9 Julai bertempat di Kolej Yayasan Melaka.
Sementara itu, pameran hasil kerja juga akan diadakan selama dua hari di pusat membeli belah Melaka Mall, Ayer Keroh, Melaka pada 11 dan 12 Julai depan.
Seramai 39 pelajar semester akhir kursus DTM dan DTA akan menyertai diploma show kali ini.
Diploma Show ini bertujuan untuk menilai hasil kerja dan kreativiti pelajar-pelajar melalui satu sesi penilaian oleh panel yang dipilih. Projek ini memberi ruang kepada pelajar-pelajar semester akhir untuk menzahirkan idea masing-masing.
Sebanyak enam kategori anugerah terbaik bagi setiap bidang diperkenalkan dalam diploma show kali ini iaitu Kategori Animasi Terbaik, Kategori Penyiaran Terbaik, Kategori Pengiklanan Terbaik, Kategori Kewartawanan Terbaik, Kategori Perhubungan Awam Terbaik dan Peserta Pameran Terbaik.
Beberapa buah syarikat media termasuk syarikat penerbitan, penyiaran dan animasi juga dijemput mengadakan lawatan sempena majlis ini.
Sehubungan itu, pihak luar khususnya syarikat-syarikat yang terlibat dalam industri media berpeluang untuk menilai kemampuan pelajar-pelajar ini dan boleh membuka peluang pekerjaan kepada mereka dalam sesi temuduga terbuka.
Majlis Perasmian akan berlangsung pada Sabtu, 11 Julai jam 8 malam di pusat membeli belah Melaka Mall dan akan dirasmikan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam.
Beberapa aktiviti menarik juga akan diadakan termasuk Forum Animasi dan Kandungan Digital Kreatif, Pertandingan Mewarna Kanak-kanak, Tayangan Wayang Pacak, Lintasan Suria Wheel SuriaFm dan persembahan kebudayaan.
Untuk keterangan lanjut, sila hubungi : Jawatankuasa Diploma Show 2009 Sekolah Teknologi Media Dan Seni di talian 06-2817732 samb 321 (En. Hassan Abdul Motalip atau Pn. Suhaiza Sumadi).
|