|
> Tayangan: "Bapak"
Pameran Diploma ke-12
  Bersempena dengan Program Diploma Show STMS yang berlangsung pada 14-18 Julai baru-baru ini, satu sesi tayangan telemovie "Bapak" arahan Sdr. Hanif Hassan telah diadakan bertempat di Studio TV STMS. Tayangan telemovie pertama arahan Sdr. Hanif Hassan ini bertujuan membuka ruang bagi para pelajar STMS mengenali dengan lebih dekat proses penerbitan sesebuah produksi drama tv. Sdr. Hanif mempunyai pengalaman yang sangat luas dalam dunia penyiaran tempatan.
Antara penglibatan beliau sebelum ini termasuklah penghasilan produksi "The Making of Puteri Gunung Ledang" dan video promosi Anugerah Industri Muzik (AIM). Setelah selesai tayangan, satu sesi bual bicara bersama pengarah Sdr. Hanif Hassan telah diadakan. Program ini membawa manfaat yang besar kepada para pelajar apabila pengarah tersebut berkongsi pengalaman beliau dalam penghasilan telemovie tersebut. Sdr. Hanif juga turut menyentuh tentang penghasilan idea, skrip, pengarahan dan seluruh proses penerbitan telemovie tersebut sehingga "Bapak" diterima untuk tayangan bersempena Hari Bapa di saluran NTV7 pada 8 Jun lalu.
Dua pensyarah STMS iaitu Encik Wan Maharuddin Wan Sulaiman (Penerbitan TV) dan Encik Zainuddin Awang Kechik (Penulisan Skrip/Lakonlayar) turut memberi komentar khusus tentang "Bapak" serta berkongsi idea tentang dunia produksi drama dan penyiaran secara umum. Sesi bual bicara kali ini dikendalikan oleh Cik Zaleha Ahmat sebagai moderator.
Sesi tayangan dan bual bicara ini bukan hanya menarik minat pelajar-pelajar yang terlibat dalam jurusan penyiaran malah yang turut hadir adalah pelajar-pelajar dari jurusan animasi dan persembahan seni teater. Pengarahnya Hanif Hassan mengilhamkan drama ini berdasarkan perumpamaan, ibu atau bapa boleh menjaga berbelas anak tetapi belum tentu seorang daripada anak itu mampu menjaga kebajikan orang tua mereka.
Judul: Bapak
Produksi: Sixteen-Nine Pictures Sdn Bhd
Penerbit: Hanif Hassan
Pengarah: Hanif Hassan
Penolong Pengarah/Konti: Mohd Bahar Talib
Skrip: Hanif Hassan
Jurukamera: Tayanithi Ramamujem
Pengurus Produksi: Kamisah Abdul Manap
Pembantu Pengurus Produksi: Nasir Jamaluddin
Solekan & Dandanan: Rosmawate Ahmad
Pembantu Produksi: Muhammad Fikri Wanchek
Pelakon:
Baharudin Omar (Hassan / Bapa),
Kismah Johar (Mah Arah),
Bell Ngasri (Samad),
Naszeli Ngasri (Sani),
Razali Hussin (Kamal),
Abu Bakar Long (Mamat),
Serina Redzuawan (Kak Ngah),
Ozlyn Waty (Mai),
Nadia Kasumawati (Doktor Salmah).
|