Program Amal Happy Day

Pada 30 hb Ogos 2008, (Sabtu) pelajar Perhubungan Awam Sekolah Teknologi Media & Seni semester 5, telah menganjurkan program amal iaitu Program "Happy Day" bersama anak-anak yatim dari Rumah Anak-Anak Yatim The Salvation Army. Program amal ini merupakan projek pertengahan semester bagi subjek Perhubungan Awam Peringkat Maju. Terdapat tiga orang pelajar bagi setiap kumpulan ini terdiri daripada Seow Siu Voon sebagai Pengarah Projek, Nurhafizah Mohd Yusof dan Nas Norziela Nasbah. Mereka telah memilih Zoo Melaka sebagai tempat program amal ini dijalankan. Tujuan Program Amal ini dijalankan adalah untuk memberi peluang dan berkongsi kegembiraan bersama anak-anak yatim.

Anak-anak yatim dipilih bagi menjayakan Program Amal "Happy Day" ini kerana seperti yang kita sedia maklum anak-anak yatim dikategorikan golongan kurang bernasib baik yang perlu diberikan perhatian. Kegembiraan yang terpancar di wajah anak-anak yatim ini merupakan satu kejayaan besar bagi penganjur Program Amal ini. Program ini mengambil masa dua bulan untuk persediaan yang lengkap bagi memastikan ia dapat dijalankan dengan lancar. Terdapat seramai 20 orang anak-anak yatim daripada Rumah Anak Yatim The Salvation Army dan juga 25 orang pelajar daripada Sekolah Menengah Gajah Berang yang datang sebagai sukarelawan ketika itu, telah memeriahkan program tersebut.

Antara aktiviti yang dijalankan adalah pertandingan mewarna yang melibatkan anak-anak yatim yang berumur 5-10 tahun. Aktiviti ini diadakan di tempat persembahan haiwan (Animal Show). Selain itu, aktiviti lain yang diadakan adalah permainan sukaneka melibatkan sukarelawan dari Sekolah Gajah Berang dan juga anak-anak yatim. Program HAPPY DAY yang berlangsung selama beberapa jam ini, dianggap berjalan lancar.

Tetamu VIP yang hadir adalah Dekan Sekolah Teknologi Media Dan Seni iaitu En Mohd Nawawi Saad dan juga para pensyarah STMS. Penaja Program Amal HAPPY DAY iaitu Inslead Enterprise juga tidak ketinggalan hadir pada hari tersebut. Program Amal ini dikatakan berjaya kerana telah mencapai satu misi iaitu menghadiahkan kegembiraan kepada anak-anak yatim. Semoga Program Amal seperti ini dapat dianjurkan lagi.