Majlis Konvokesyen ke-6, Kolej Yayasan Melaka

Satu majlis konvokesyen gilang gemilang telah diadakan bertempat di Dewan Seri Negeri Melaka, tanggal 18 Oktober lalu. Majlis penganugerahan tahunan bagi diploma dan sijil itu adalah sebagai tanda meraikan hampir 600 graduan Kolej Yayasan Melaka yang telah berjaya menamatkan pengajian mereka.

Timbalan Menteri Pengjian Tinggi I, Kementerian Pengajian Tinggi, Yang Berhormat Datuk Ir Haji Idris bin Haji Haron, telah diberi penghormatan untuk mengisytiharkan pembukaan majlis konvokesyen ini, sekaligus menganugerahkan diploma dan sijil kepada graduan-graduan.

Rektor Kolej Yayasan Melaka, YBhg Datuk Professor Dr. Hajah Ramlah binti Adam dalam ucapannya menyatakan rasa bangga dengan pencapaian KYM dalam usaha penjanaan sumber manusia negara. KYM, menurutnya sedang berusaha meningkatkan mutu prasarana kolej dan kualiti pembelajaran, serta penambahan program-program baru bagi mencapai objektif yang pegang. Beliau turut mengingatkan kepada para graduan agar terus menjaga nama baik dan maruah kolej apabila memasuki bidang pekerjaan kelak.

Dalam ucapan lain oleh Yang Berhormat Datuk Ir Haji Idris bin Haji Haron, Kementerian Pengajian Tinggi menghargai peranan KYM melahirkan modal-modal insan yang berkualiti, berketerampilan dan berkemahiran yang diperlukan untuk pembangunan negara selaras dengan Wawasan 2020. Beliau juga berharap agar institusi-institusi pengajian swasta seperti KYM akan terus berdaya saing dengan universiti-universiti terkemuka lain.

Dalam majlis yang diraikan ini, empat orang graduan telah menerima anugerah cemerlang, iaitu Siti Habsah binti Abdul Wahab dari Sekolah Pengurusan Perniagaan, Hasbul Fadzillah bin Abd. Rahman dari Sekolah Teknologi Maklumat, Nurul Asrinda binti Bahari dari Sekolah Teknologi Perindustrian dan Syed Hafizul Hadee bin Syed Ibrahim dari Sekolah Teknologi Media dan Seni, yang turut memberikan ucapan selaku wakil pelajar. Majlis ini turut berasa terharu dengan kejayaan graduan kurang upaya, Zaharuddin bin Md Desa yang menerima anugerah Diploma Multimedia.


Penutupan majlis konvokesyen ini juga diisytiharkan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi I, Yang Berhormat Datuk Ir Haji Idris bin Haji Haron sebelum bersurainya majlis ini.


Foto aktiviti pelajar penyiaran pada Majlis Konvokesyen ke- 6.


Jawatankuasa Pengambaran : En. Abdul Malik Bin Daud
Selaku Ketua Jabatan Media: Sekolah Teknologi Media & Seni.


Jawatankuasa Persembahan : Pn. Noorasnisa Binti Abidin
Selaku Ketua Jabatan Seni Teater: Sekolah Teknologi Media & Seni.